Contact

Monday, September 22, 2014

Masalah Pengairan Bunga Pasu

Hari raya eidul-adha akan tiba tidak berapa hari sahaja lagi. Tidak kurang ramainya yang telah merancang untuk balik kampung untuk menyambutnya bersama ibubapa atau keluarga, paling kurang buat dua atau tiga hari. Dalam tempoh itu apakah akan terjadi kepada pokok-pokok bunga hiasan yang kita tanam dalam pasu! Inilah masalahnya setiap kali kita hendak meninggalkan tanaman bunga yang kita sayangi, belai setiap hari.
Berbagai cara boleh kita lakukan untuk mengatasi masalah ini jika hanya setakat dua atau tiga hari sahaja. Ini adalah satu cara yang paling mudah dan murah.
Cocok lantai botol dengan jarum halus,
Isi air dan tanamkan bersama dengan
pokok tanaman.
 Menanam botol cara begini memaksa kita menggali tanah pasu, yang besar kemungkinan boleh merosakkan akar pokok. Bagi mengelakkannya tutup botol itu dengan penutupnya (yang telah ditebuk beberapa lubang halus) dan benamkan dengan cara terbalik. Pastikan ianya kekal berdiri, tidak tumbang atas faktor-faktor tertentu. Air akan meresap ke tanah beransur-ansur.
(Jika dari mula lagi anda hendak menggunakan cara ini, pastikan bahawa anda menebuk dua atau tiga lubang halus pada lantai botol bagi memboleh udara masuk, jika tidak air tidak akan meresap keluar).
Berapa lamakah air dalam botol itu boleh bertahan? Anda harus bijak menganggarkan sebesar mana lubang yang hendak dibuat: lebih besar jarum digunakan lebih cepat air mengalir keluar. Pendek kata, ini bergantung kepada pengalaman - anda harus melakukan sedikit kajian untuk melakukannya. Cubalah.
Masalah kekeringan air tidak dapat dielakkan atas pelbagai faktor. ini tentunya memang tidak diingini tetapi apakah usaha yang boleh anda lakukan.

Teknologi Drip 
Satu caranya ialah menggunakan sistem pengairan yang berteknologi, yang kita namakan teknologititisan atau teknologi drip. Bunyinya seperti menakutkan tetapi sebenarnya tidak. Saya namakan teknologi kerana sistem ini melibatkan peralatan berelektronik seperti pam elektronik dan timer. Kedua-dua alat ini dipasangkan kepada satu sistem saliran menggunakan tiub, dan pada tiub inilah dipasangkan saluran cawangan ke setiap pokok atau pasu.
Dengan belanja lebihkurang RM200 sahaja anda akan dapat satu sistem pengairan yang  berterusan selagi bekalan air dan elektrik ke primis anda tidak tergendala. Dengan sistem ini anda tidak lagi perlu bimbang pokok pasu anda kekeringan. Sistem ini boleh digunakan untuk banyak pasu bunga sekali gus.
Peminat bunga pasu yang tinggal di pangsapuri atau seumpamanya akan mendapat memenuhi minatnya dengan sistem ini.

Kebaikannya
Kebaikannya ialah anda tidak perlu menjaganya, tidak perlu bimbang lagi untuk balik kampung, kerana sistem pengairan ini adalah sebagai robot yang akan menyiram tanaman pasu dan sebagainya mengikut masa yang anda programkan. Dengan ini jika berlaku kemarau sekalipun tanaman pasu anda akan terus gah tumbuh seperti tiada apa yang berlaku. Pastinya pokok tanaman anda amat berterima kasih kerana mendapat jagaan yang sempurna. Dan yang penting tentunya pokok tanaman anda berdoa untuk anda agar diberi kesihatan dan kebajikan sebagai balasannya.